Mama With Loves

Followers

Monday, October 1, 2012

Gangnam

SO TRUE:
DARI DR. RIDHUAN TEE

Pengalaman berada di Brisbane Australia beberapa hari, menjadikan saya terfikir, apakah ini sebenarnya kehidupan? Apa sebenarnya kemahuan manusia? Pada mereka bahagia adalah dengan bekerja keras, mempunyai wang yang banyak dan kemudian membelanjakannya bagi tujuan hiburan dan berpeleseran pada waktu lapang. Kehidupan berkeluarga sudah tidak penting lagi.
Maka tidak hairanlah, bandar-bandar mereka agak sepi pada malam hari antara hari isnin dan jumaat. Malam-malam bandar ini kembali meriah pada hari sabtu dan ahad. Pada pandangan mereka, selepas penat bekerja, tibalah masanya untuk bergembira dan bersukaria tanpa batas. Mereka boleh melakukan apa sahaja, tanpa halangan, termasuk seks bebas, seks sesama jantina, minum arak, berjudi dan sebagainya. Hidup berkeluarga dianggap sesuatu yang menyusahkan dan menghalang keseronokan individu. Persoalannya, adakah ini yang diindekskan sebagai bahagia? Perlukah bandaraya kita hidup selama 24 jam mengalahkan barat?
Jika inilah indikatornya maka tidak hairanlah Malaysia menduduki tempat ke 51 daripada 156 negara yang dikaji oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Indeks ‘Kebahagiaan Sedunia’ yang dikeluarkan PBB di New York mungkin tidak sesuai untuk kita di sini.
Malaysia menduduki tangga kedua di Asia Tenggara selepas Singapura, dikatakan negara paling gembira di rantau itu. Negara maju Scandinavia seperti Denmark, Finland dan Norway menduduki tiga tempat teratas dalam senarai tersebut, yang paling bahagia di dunia. Indikator lain yang digunakan adalah kebebasan politik, rantaian sosial yang mantap, ketiadaan amalan rasuah.
Di kalangan individu pula, kesihatan mental dan fizikal yang baik, tempat seseorang untuk bergantung, jaminan pekerjaan dan keluarga yang stabil adalah faktor yang diambilkira.  Amerika Syarikat menduduki tangga ke-11, Jepun (44), China (111), Iran (84) dan Syria di tempat ke-106. Negara yang paling tidak bahagia ialah Togo, negara Afrika Barat. Analisis ini ada yang boleh diterima, ada yang tidak.
Ramai sarjana dan agamawan (terutama Islam), bersetuju bahawa kesejahteraan dan kebahagiaan tidak terbatas kepada perasaan peribadi (subjective feelings) atau kegembiraan atau keseronokan (pleasure), walaupun unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan dari makna pengalaman tersebut. Kebahagiaan hakiki adalah pengalaman rohani yang berteraskan keyakinan terhadap hakikat alam semesta dan kehidupan yang memancarkan akhlak dan adab yang baik (Wan Mohd Nor, 2011).  
Justeru, apa yang kita perlu fikirkan hari ini bukan budaya terlalu suka berhibur atau bergangnam, tetapi fikirkan keadaan bagaimana nak keluarkan manusia dari belenggu kemiskinan dan kehidupan yang terlalu menghimpit. Misalnya di Singapura, saiz negara ini begitu kecil, tetapi membina rumah pangsa (flat) dalam skala yang cukup selesa dengan tiga bilik, dalam keadaan ruang saiz tanahnya amat terhad, lengkap dengan kemudahan awam dan rekreasi. Manakala, kita pula, saya agak pelik, dengan tanah yang begitu luas, kita membina rumah (flat) begitu kecil sehingga masih ada flat satu bilik. Akibatnya, anak-anak tidak berasa selesa untuk berada di dalam rumah. Mereka lebih suka berpeleseran di luar rumah yang lebih bergangnam. Faktor kemiskinan, ditambah dengan tidak ada sokongan awam menjadikan keadaan lebih buruk.
Justeru, saya amat hairan, kenapa kita terlalu ghairah dengan gangnam dan kolaveri? Apakah Gangnam boleh mengenyangkan perut kita? Bila perut lapar kita akan cari nasi, bukannya Gangnam.


~Mama With Love~ Fara Othman

No comments:

Post a Comment